Jika ayah sudah tiada, siapa bertanggungjawab bagi nafkah anak?



ANAK adalah anugerah Allah SWT kepada suami isteri dan penyeri sebuah rumah tangga. Sebagai ibu bapa, tentunya mempunyai tanggung jawab terhadap anak-anak mereka. Anak mempunyai hak terhadap ibu bapanya. Hak anak bermula dengan nasab yang sah dan dari situ maka lahirlah hak-hak seperti; hak nafkah, pendidikan dan lain-lain.

Nafkah anak adalah kewajipan bapa berasaskan surah al-Baqarah ayat 233 yang bermaksud: ...Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menuntut yang sepatutnya… Ayat ini diperkuatkan oleh hadis Rasulullah SAW kepada Hindun, "Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan cara yang maaruf."

Pada pandangan ulama jumhur, anak-anak yang berhak kepada nafkah adalah anak yang sah taraf, anak kepada anak (cucu) yang furu' ke bawah.

Siapakah yang wajib membayar nafkah? Jika berasaskan surah al-Baqarah di atas, maka yang wajib nafkah ialah bapa sekiranya ia masih hidup dan mampu.

Menurut ulama Hanafi, jika bapa tidak mampu kerana fakir atau tidak sihat untuk bekerja, maka nafkah hendaklah ditanggung oleh datuk sebelah bapa atau ibu kepada anak-anak. Nafkah yang dibiayai oleh datuk kepada anak atau ibunya ketika bapa anak tidak mampu memberi nafkah kerana kesempitan wang, maka jumlah tersebut boleh dituntut semula. Dalam hal ibu anak dan datuk sebelah bapa ada bersama untuk membiayai nafkah anak ketika ketiadaan bapa, maka jumlahnya ialah 1/3 bagi ibu dan 2/3 bagi datuk.

Bagi ulama Maliki nafkah adalah kewajipan bapa sahaja.

Ulama Shafie berpandangan bahawa kewajipan nafkah adalah bapa dan jika dia tidak mampu, ia jatuh kepada ibu. Jika ada ibu anak, saudara lelaki dan datuk, maka bahagian nafkah adalah 1/3 seorang. Imam Shafie berpendapat datuk berkewajipan membiayai nafkah cucunya dalam ketiadaan bapa. Jumlah nafkah anak adalah mengikut kemampuan pemberi nafkah.

Ulama Shafie juga berpandangan bahawa nafkah anak yang tidak berbayar adalah hutang jika diputuskan oleh mahkamah atau jika bapa dengan sengaja enggan membiayai nafkah.

Enakmen

Pada hari ini nafkah anak boleh dituntut melalui enakmen undang-undang keluarga Islam. Menurut seksyen 73, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003:

(1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

Jika dilihat daripada peruntukan ini, bapa berkewajipan menanggung nafkah anaknya. Nafkah bermakna tempat tinggal, makan, minum, pakaian, perubatan dan pelajaran mengikut kemunasabahan dan kemampuannya.

Jika diamati senario hari ini, ramai bapa yang tidak menjalankan tanggungjawab ini. Contoh paling menarik ialah apa yang dilaporkan oleh akhbar Harian Metro bertarikh 28 Disember yang bertajuk, "Merempat Angkara Ayah". Dalam kes ini, pasangan mempunyai lapan orang anak dan seorang anak angkat. Apabila bercerai, suami mengambil dua orang anak dan meninggalkan tujuh anak yang lain kepada bekas isteri. Ibu dan tujuh anak itu tinggal di sebuah bilik dengan sewa RM350 sebulan dan anak-anak makan dua hari sekali.

Persoalan yang timbul ialah bagaimanakah mereka hidup sebelum perceraian? Semasa bercerai, siapakah yang memutuskan setiap pembahagian anak-anak. Bagaimanakah seorang wanita yang sebelum ini ditanggung suaminya, menanggung tujuh orang anak jika dia sendiri tidak bekerja. Bantuan kebajikan sebanyak RM400 untuk lapan orang adalah sesuatu yang tidak munasabah kerana jika seorang dianggarkan berbelanja RM5 sehari (RM5 x 8>RM40 x30 hari>RM1,200). Apakah yang boleh kita beli untuk dimakan dengan RM5 pada 2013 ini?

Hari ini jika pasangan suami isteri mempunyai lapan orang anak dan hanya suami yang bekerja dengan pendapatan RM1,500 sebulan, maka ia masih tidak mencukupi kecuali isteri berniaga atau menjual makanan atau mengasuh anak orang atau menjahit pakaian. Zaman telah berbeza, dahulu, ibu bapa boleh membesarkan 10 anak dengan hanya bekerja kampung dan menanam padi atau menoreh getah. Ini kerana mereka masih boleh bercucuk tanam, merebus ubi sebagai ganti beras dan ke sungai menangkap ikan. Hakikatnya, suasana kampung sebegini juga sudah sukar ditemui. Realiti hari ini, jika isi rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan dan mempunyai tiga anak dan duduk di Kuala Lumpur, kehidupan bukan sahaja tidak mewah malah ia umpama kais pagi makan pagi.



Sumber : Utusan


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.