Guna Koperasi maju hartanah Bumiputera

Jika anda ada perniagaan dan produk Muslim yang hendak viralkan sila WhatsApp >Klik Disini<

Untuk carian produk Muslim
sila masukkan carian anda di bawah


Daripada kajian yang dijalankan, masih ada 120,000 hektar tanah terbiar di seluruh negara. Begitu juga, hanya kira-kira 13 peratus daripada 30,000 hektar tanah wakaf yang dimajukan. Maknanya masih ada kira-kira 87 peratus atau 26,100 hektar belum dimajukan dengan jaya. Jika dikaji lebih teliti, ada pula tanah dimajukan tadi tidak mencapai tahap gunaan tertinggi dan terbaik. Kajian mendapati hanya kira-kira 18 peratus daripada pemilikan tanah di Wilayah Iskandar Malaysia adalah Bumiputera. Jadi cabaran melabur dan memajukan tanah orang melayu masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain.

Orang Melayu dan kaum Bumiputera perlu lebih peka menyahut seruan kerajaan dalam pembangunan negara. Banyak agensi kerajaan sentiasa bersedia menghulur bantuan kepada mereka. Kerajaan menubuhkan agensi pemerkasaan ekonomi Bumiputera dengan tujuan memajukan ekonomi mereka tanpa menafikan hak kaum lain. Kaum Bumiputera perlu keluar daripada sentiasa menadah tangan memoon bantuan kerajaan dan menerima tongkat sakti semata-mata.

Pada masa sama, agensi kerajaan yang berkaitan perlu mempergiat usaha membantu dan menjana ekonomi orang Melayu dan Bumiputera di seluruh negara. Dalam konteks ini, dilihat Majlis Koperasi Malaysia mempunyai kekuatan kewangan dan kebolehan untuk terus menceburi bidang pelaburan dan pembangunan hartanah, terutama tanah milik orang melayu. Banyak koperasi yang berjaya memajukan hartanah di seluruh negara, manakala yang lain pula sedang cuba menjayakannya.

Sesungguhnya pulangan usaha memajukan hartanah sungguh berbaloi kalau kena caranya. Kira-kira 15 hingga 25 peratus daripada Nilai Pembangunan Kasar adalah tingkat keuntungan kepada pemaju dalam pembangunan hartanah. Kalau dikira daripada jumlah kos pembangunan pula, keuntungan pemaju berada pada kadar 15 hingga 20 peratus juga.

Maktab Koperasi Malaysia boleh lihat semula penstrukturan organisasi dan penjenamaan semula dengan memberi tumpuan kepada sektor hartanah. Semoga penstrukturan dan penubuhan MARA Corporation menjadi inspirasi yang mendorong ke arah berkenaan. Justeru, perlu diwujudkan badan khas yang dipertangungjawabkan untuk memajukan Tanah Rizab Melayu, tanah wakaf dan tanah berkaitan Bumiputera di setiap negeri.

Tubuh sayap pelaburan

Seperti MARA, peranan dan tanggung jawab Majlis Koperasi Malaysia perlu belajar daripada agensi lain berkaitan hartanah, sepertiPerbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan FELDA yang menubuhkan sayap pelaburan. Dalam konteks lebih luas, Majlis Koperasi Malaysia perlu diletak sesuai dengan tempatnya di Jabatan Perdana Menteri. Biar menteri khas menjaganya.

Ada pula cendiakawan Melayu yang menasihati. Jemaah penasihat daripada agensi berkaitan tanah (ABT) termasuklah permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN), Perbadanan Islam, Jabatan Wakaf, Haji dan Wakaf (JAWHAR) dan sebagainya.

Mungkin ditambah dengan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB), Syarikat Takaful dan sebagainya. Dengan memperkasakan ABT terutama sekali Majlis Koperasi Malaysia, orang Melayu dan agensi berkaitan akan terus diperkasa dan digembleng untuk melangkah dan memajukan hartanah mereka demi generasi akan datang.

Akhirnya, pada masa akan datang, mungkin pada 2050 nanti, orang Melayu tidak lagi bergelut dengan tanah pertanian terbiar tetapi sudah bergelumang dengan pemilikan pasar raya moden bertingkat, bangunan pejabat pencakar langit, kompleks moden asas tani bertingkat dan sebagainya.

- Dr Ismail Omar, MS 10, 31 Mei 2016, Berita Harian.



Jika anda ada perniagaan dan produk Muslim yang hendak viralkan sila WhatsApp >Klik Disini<

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.