Iltizam berhemat penduduk Jepun jadikan iktibar


Langkah penjimatan sektor awam yang bermula sejak 1 Januari 2014 dan masih berkuatkuasa sehingga kini adalah usaha kerajaan kearah perbelanjaan yang berhemat, terutama dalam mengawal defisit negara. Antara inisiatif penjimatan yang dijalankan adalah menghadkan sajian ketika mesyuarat dan majlis keraian, pembekuan pengubahsuaian ruang pejabat dan pemberian sagu hati serta cenderamata.

Meskipun negara, malah seluruh negara pengeluar minyak dunia mengalami kejatuhan harga pasaran minyak yang kritikal, langkah penjimatan ini dianggap memberi kesan kumulatif yang negatif terhadap usahawan Bumiputera khasnya yang banyak bergantung kepada kerajaan sebagai pelanggan utama mereka.

Melihat kepada senario itu, penulis terpanggil untuk berkongsi pengalaman sewaktu berkursus sekitar 2013 dan memalui pembacaan mengenai cara hidup dan mentaliti positif daripada rakyat negara matahari terbit, iaitu Jepun. Sorotan malapetaka gempa bumi pantai pasifik Tokuhaku dan kejadian tsunami pada 2011, Jepun terpaksa menanggung kerugian gempa bumi mencecah AS$34.6 billion.

Tragedi gempa bumi itu dikatakan sebagai tragedi terburuk Jepun selepas Peperangan Dunia Kedua yang memberi kesan besar terhadap perbelanjaan negara. Ia turut menyebabkan 4.4 juta isi rumah di timur laut Jepun terpaksa meneruskan kehidupan tanpa bekalan elektrik.

Antara langkah dilaksanakan Kerajaan Jepun adalah dengan menyusun semula bajet negara untuk membina semula kawasan yang musnah akibat gempa bumi. Pembinaan semula infrastruktur dikawasan itu memerlukan modal besar, malah diteruskan sehingga kini. Antara contoh penjimatan yang dilaksanakan membabitkan pengurangan perbelanjaan utiliti seperti elektrik yang dikuatkuasakan dibangunan kerajaan, lapangan terbang dan pusat beli belah.

Meskipun musim pada ketika itu agak berbahang, rata-rata daripada rakyat Jepun dilihat tidak merungut dengan keadaan itu. Malah, ramai juga dalam kalangan mereka yang membawa kipas tangan sendiri. Tidak cukup dengan keadaan yang kurang selesa itu, rata-rata daripada mereka tidak menggunakan lif mahupun eskalator dan berpusu-pusu menggunakan tangga. Apabila ditanya mengenai keadaan itu, mereka menjelaskan bahawa inilah sumbangan kecil yang mampu diberikan oleh rakyat dalam membantu mangsa Tohoku yang memerlukan.

Berbalik kepada keadaan di Malaysia, kita bernasib baik kerana berada di luar Lingkaran Api Pasifik yang mana tiada tragedi buruk seumpama itu di negara kita. Namun demikian, kita tidak dapat lari daripada menghadapi kemelesetan ekonomi yang memberi kesan besar kepada pendapatan negara secara amnya. Oleh itu, langkah penjimatan melalui pengurangan perbelanjaan sajian ketika mesyuarat dan majlis keraian serta langkah penjimatan lain yang dikuatkuasakan oleh kerajaan seharusnya dipandang positif dan disokong penuh oleh semua pihak.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Kongsikan Artikel ini

No comments

Powered by Blogger.